Sign In


Apakah ada perancangan pihak kementerian untuk menjadikan koperasi sebagai sumber pendapatan rakyat yang signifikan? Sebagaimana jua di negara-negara yang memajukan bidang koperasi ini mampu menjadikan suatu yang sangat bermanfaat bagi memajukan ekonomi komuniti di negara-negara berkenaan. 
Salah satu aktiviti perniagaan yang patut segera dilaksanakan ialah perancangan pihak Jabatan Koperasi sebelum ini yang pernah ditaklimatkan beberapa tahun yang lalu kepada Penghulu dan Ketua Kampung iaitu penubuhan Pusat Edaran. Jika Pusat Edaran ini dapat direalisasikan secara kebangsaan ia akan menjadi platform, manfaat dan sumber pendapatan tambahan kepada rakyat kebanyakan. Dengan berkoperasi rakyat akan mempunyai pendapatan tambahan selain pekerjaan dan perniagaan persendirian. Mudah-mudahan dengan berkoperasi ia akan menjadi satu keperluan menunjang sosioekonomi rakyat.

- Yang Berhormat Awang Haji Mohimin bin Haji Johari @ Jahari, 8 Mac 2018

Jawapan:

Oleh itu, dengan mengambil kira perkara-perkara ini Perancangan dan Pelan Pembangunan Koperasi pada masa ini bertumpukan kepada 6 perkara yang ada hubung kaitnya dengan saranan dan soalan Yang Berhormat Awang Haji Mohimin bin Haji Johari @ Jahari mengenai koperasi yang terlibat dalam aktiviti pusat edaran koperasi bersifat kebangsaan dan juga yang di peringkat institusi-institusi pengajian tinggi dan menengah:-
i. Mempromosikan gerakan koperasi; 
ii. Membuka peluang-peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan; 
iii. Menggalakkan penglibatan belia dalam koperasi; 
iv. Menggalakkan para koperasi untuk menerokai bidang-bidang perniagaan yang berpotensi bagi pasaran dalam dan luar negeri;
v. Meningkatkan pembangunan modal insan koperasi; dan vi. Menguatkuasakan urus tadbir koperasi-koperasi agar lebih telus dan teratur.

Koperasi sebagai sumber pendapatan rakyat yang signifikan. Seterusnya dalam usaha-usaha untuk menggalakkan para koperasi untuk menerokai bidang-bidang perniagaan yang berpotensi bagi pasaran dalam dan luar negeri. Projek-projek yang sedang dipromosikan adalah projek madu kelulut dan akuakultur. Di samping itu juga terdapat perbincangan dengan syarikat-syarikat ejen pemasaran ke luar negara untuk pengeksportan ke luar negeri;


Status pada 25 Ogos 2018:

Mengenai dengan penubuhan Pusat Edaran, Bahagian Koperasi telah mengadakan perjumpaan bersama dengan beberapa buah koperasi yang terlibat dalam sektor peruncitan pada 04 April 2018. Tujuan perjumpaan tersebut adalah untuk membincangkan semula cadangan penubuhan Pusat Edaran dan bagi mengenalpasti perkara-perkara yang perlu dilaksanakan seperti model perniagaan, rangkaian perniagaan, penyediaan pelan tindakan serta pelan perniagaan dan seterusnya bagi mendapatkan maklum balas dari pemimipin-pemimpin koperasi.

Berikutan dari perjumpaan tersebut, Bahagian Koperasi telah merebiu semula pelan perniagaan Pusat Edaran terutamanya dari aspek operasi, aspek kewangan (Cashflow projek), saluran pembekalan dan pengedaran serta strategi pemasaran. Pelan perniagaan ini akan ditaklimatkan dan dibincangkan pada mesyuarat kali kedua yang akan diadakan pada 21 Mei 2018.

Disamping itu, Kementerian Tenaga dan Perindustrian dengan kerjasama Syarikat Usahasama Brunei Shell (BSJV) juga telah memperkenalkan satu program bagi mendukung pembangunan usahawan tempatan iaitu program I-Usahawan. Program ini akan memberikan platform kepada para usahawan muda untuk mengembangkan perniagaan mereka, termasuklah dalam sektor kedai runcit yang seterusnya akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi Brunei.

Bahagian Koperasi telah mengadakan perjumpaan kali kedua bersama dengan beberapa buah koperasi yang terlibat dalam sektor peruncitan pada 23 Mei 2018 bagi membincangkan pelan perniagaan Pusat Edaran yang telah direbiu. Hasil dari perjumpaan tersebut semua perwakilan dari koperasi-koperasi yang hadir bersetuju agar Pusat Edaran dijalankan oleh Koperasi Menengah.

Pelantikan Jawatankuasa Penaja (Protem Committee) telah diadakan pada 7 Julai 2018. Diantara peranan dan fungsi Jawatankuasa Penaja ialah menyediakan rancangan perniagaan, menggubal Undang-Undang Kecil Koperasi bagi mengawal operasi dan menyediakan jadual pelan tindakan. Bahagian Koperasi akan bertindak sebagai urusetia kepada Jawatankuasa Penaja.

Mesyuarat Jawatankuasa Penaja yang pertama telah diadakan pada 26 Julai 2018 bagi membincangkan hala tuju Pusat Edaran. Mesyuarat Jawatankuasa Penaja  juga telah mengadakan perjumpaan dengan pihak Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) pada 7 Ogos 2018 bagi membincangkan kerjasama yang boleh dilaksanakan dan mendapatkan maklumat mengenai produk-produk dari koperasi-koperasi di Malaysia yang boleh diedarkan oleh Pusat Edaran.

Mesyuarat Jawatankuasa Penaja kali kedua telah diadakan pada 9 Ogos 2018 bagi membincangkan pelan perniagaan Pusat Edaran.

Status pada 20 Oktober 2018:

Mesyuarat Jawatankuasa Penaja kali ke-tiga telah diadakan pada 6 Oktober 2018 bagi membincangkan persediaan taklimat kepada Setiausaha Tetap (Perindustrian) dan perjumpaan dengan Pengerusi Ahli Jawatankuasa Penaja telah diadakan pada pada 16 Oktober 2018 untuk meneliti Pelan Perniagaan Pusat Edaran untuk membuat beberapa pindaan isi kandungan yang terdapat dalam pelan perniagaan. Pelan Perniagaan telah 90% siap disediakan, kecuali aliran tunai yang perlu dibincangkan sebelum menyediakan undang-undang kecil koperasi. Taklimat akan disampaikan oleh Ahli Jawatankuasa Penaja pada 1hb November 2018.